11 September 2011

Kosmo 11 Sep 2011 - Pisang Tanduk

Pisang tanduk laris di Merlimau







SEKIRANYA anda singgah ke bandar Merlimau, anda pasti tidak akan terlepas pandang pisang tanduk yang bergantungan di deretan kedai buah-buahan di tepi jalan.
Keistimewaan pisang itu ialah ia bersaiz besar hingga ada yang mencapai satu kaki panjang. Ia dikenali sebagai pisang tanduk kerana bentuknya seperti tanduk.
Saiz dan bentuk rupa pisang itu bukan sahaja menjadikannya berbeza daripada pisang-pisang yang lain. Pisang tanduk kebiasaannya mengeluarkan antara 10 hingga 12 biji buah sahaja untuk setandan. Ia berbeza daripada pisang lain begitu juga rasanya.
Kawasan yang dikenal pasti terdapat banyak tanaman pisang ini ialah Kampung Rim, Jasin.
“Pisang ni kalau tanam hasilnya dalam lapan kesembilan bulan baru boleh dapat, walaupun cara tanamnya sama macam pokok pisang lain, tapi itulah...lama sikit nak tunggu hasilnya,” kata Pegawai Jabatan Pertanian Daerah Jasin, Mahathir Omar.
Berbanding pokok pisang yang lain, ia hanya mengambil masa antara tiga hingga enam bulan sebelum dituai.
Pendapatan lumayan
Namun, penanam pokok pisang tanduk juga boleh menambah pendapatan apabila anak pokok pisang itu juga mendapat permintaan.
“Selalunya selepas ditebang, satu rumpun pokok boleh menghasilkan 12 hingga 18 anak pokok, jadi ia agak lumayan,” katanya bahawa setiap anak pokok pisang itu dijual pada harga RM0.60 sepokok.
Beliau berkata, pisang tanduk semakin terkenal sejak akhir-akhir ini di jasin berikutan daya tahannya terhadap penyakit yang biasa menyerang pisang seperti fusarium wilt dan moko disease.
Bagi membantu petani setempat, Jabatan Pertanian memberi geran RM6,000 bagi setiap 0.4 hektar kepada setiap petani buah-buahan. Ini termasuklah penanam pokok pisang tanduk.
“Geran ini meliputi perbelanjaan yang meliputi baja, racun dan benih, bagaimanapun perbelanjaan selebihnya perlu ditanggung sendiri oleh petani,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah beliau, pisang tanduk menjadi permintaan orang ramai di kawasan Merlimau selepas dikomersialkan untuk industri kerepek dan pisang goreng.
Pembantu di Syarikat Anak Desa AH Kamisah Enterprise yang mengusahakan perniagaan kerepek pelbagai jenis, Rukini Abdul Hamid berkata, penggunaan pisang tanduk secara serius untuk dibuat kerepek oleh syarikatnya bermula sejak tahun 2008. “Pisang tanduk memang kita guna sejak tahun 2002, tapi tidaklah banyak, sebelum ini banyak guna pisang nangka dan pisang nipah, tetapi dah susah nak dapatkan pisang tu sekarang,” katanya.
Setiap hari beliau menerima kira-kira lima tandan pisang yang boleh menjangkau berat sehingga 40 kilogram (kg). Kerepek pisang tanduk syarikat itu dijual pada harga RM16 setiap kg.
Syarikat berkenaan memulakan perniagaan sejak 1987 dengan mendapat bantuan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). “Alhamdulillah sekarang berniaga pun agak menjadi walaupun dibuat secara kecil-kecilan,” katanya.
Mengenai masa depan permintaan pisang tanduk, seorang pengusaha ladang pisang tanduk, Syed Idrus Syed Abdullah, 43, berpendapat, selagi ada orang yang makan goreng pisang dan kerepek pisang tanduk permintaan terhadap pisang tanduk tidak akan putus.
Sejak tujuh tahun mengusahakan tanaman itu di ladang seluas 16 hektar, beliau belum pernah menghadapi masalah daripada segi pemasaran. “Pasaran ini menjangkau sehingga ke Sepang, Selangor, Johor dan kadang-kadang dipasarkan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya menambah bahawa pasarannya masih belum lagi menembusi pasaran luar negara.
Beliau berkata, tanah yang digunakan adalah tanah sawah terbiar dan kira-kira 800 batang pokok ditanam di setiap 0.4 hektar tanah. Syed Idrus berkata, cara penanaman pisang tanduk sama seperti pokok pisang lain.
Saiz pokoknya juga sama. Bagaimanapun, apa yang unik mengenai pokok pisang tanduk itu ialah ia tidak mempunyai jantung.
Impak pilihan raya
Daud Tulus, yang membuka kedai buah-buahan di bandar Merlimau sejak lapan tahun lalu berkata, jualan pisang tanduk daripada orang luar semakin meningkat ekoran adanya pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Merlimau.
“Semalam sahaja satu van dari Pulau Pinang borong, kebanyakan sekarang ni, orang luar lah yang membeli pisang-pisang ni kerana unik kata mereka,” katanya yang peramah.
Daud berkata, setiap kg dijual pada harga RM3 dan setiap tandan mempunyai antara 10 hingga 12 biji pisang.
Beliau berkata, selain orang tempatan, kedai beliau turut dikunjungi oleh pelancong dari luar negara yang tertarik dengan keunikan saiz buah berkenaan.
“Kami bekerja tidak henti-henti sejak kempen pilihan raya bermula,” kata seorang peniaga goreng pisang tanduk di bandar Merlimau, Mohd. Iskandar Mat, 29.
Beliau yang berniaga pisang tanduk goreng sejak sedekad lalu mengakui tidak menang tangan sejak kempen pilihan raya bermula sehingg hari pengundian kelmarin.
“Selalunya setiap hari boleh dapat dalam RM300 hingga RM400, tetapi sekarang jualannya meningkat tiap-tiap hari,” katanya yang enggan mendedahkan pendapatan sebenarnya.
Selain pisang tanduk goreng, gerainya turut menjual cendawan dan ubi goreng.
“Saya jual empat keping pisang goreng ini RM1,” katanya.
Seorang suri rumah, Nabilah Abdullah, 25, berkata, pisang tanduk goreng sedap dimakan pada waktu petang bersama keluarga sambil bersembang.
Nabilah yang mempunyai seorang anak berusia enam bulan berkata, pisang tanduk sukar didapati di tempat lain.
“Di sini saja yang senang dapat pisang tanduk goreng, suami saya yang berasal dari Kelantan pun mengakuinya,” katanya yang menetap di Kampung Kilang Berapi. – Bernama
PISANG tanduk berbuah antara 10 hingga 12 biji setandan.

No comments: