10 September 2011

Utusan Malaysia 24/5/2011 - Kampung Tulang Gajah

Kerajaan perlu bertanggungjawab kepada rakyat - TPM

24/05/2011 5:36pm

MUAR 24 Mei - Walaupun menyedari kajian semula dasar pemberian subsidi akan menyebabkan kerajaan tidak popular dalam kalangan rakyat, langkah itu perlu dilakukan kerana ia merupakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab ia perlu menguruskan pembangunan dan ekonomi negara dengan betul untuk mengelak rakyat menanggung beban lebih teruk pada masa depan.
"Apa sahaja yang membabitkan penambahan kos kepada rakyat, ia akan menyebabkan kerajaan tidak popular. Walaupun kita mahu popular, tetapi pada masa yang sama kita juga perlu bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya di Pagoh hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan penduduk Kampung Tulang Gajah dan menerima borang keahlian UMNO daripada penduduk Orang Asli Kampung Sentosa.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pengurusan ekonomi dan kewangan yang betul akan memastikan Malaysia tidak mengikut jejak beberapa negara Eropah yang ekonominya mengalami masalah. - Bernama

No comments: